BAGI mereka yang merancang untuk bercuti di negeri jelapang padi, Kedah, jangan lupa singgah di Muzium Padi yang terletak di kaki Gunung Keriang iaitu kira-kira lapan kilometer dari bandar Alor Setar.
Kunjungan anda ke muzium itu yang dibina berasaskan bentuk ‘gemal padi' iaitu serumpun padi yang telah dikerat dan diikat bersama pasti menjanjikan kepuasan.
Ini kerana, selain menyajikan pelbagai maklumat berkaitan padi, pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah Gunung Keriang dan sawah padi yang melatari pemandangan muzium itu sendiri.
Malah, panorama seluruh kawasan Gunung Keriang turut dilukiskan di atas mural sepanjang 103 meter dan tinggi 10 meter di dalam muzium tersebut.
Lukisan mural itu memberikan maklumat tentang penanaman padi iaitu daripada proses membajak hinggalah hasil tanaman dituai.
Bagi golongan muda dan penduduk bandar, mereka pasti teruja melihat pelbagai jenis alat penanaman padi tradisional yang digunakan pesawah dahulu sebelum penggunaan mesin diperkenalkan di negara ini.
Antaranya ialah tenggala, penyisir, tenggiling belangkas dan tenggiling belimbing, kuku kambing dan set pemukul padi.
Setelah selesai melawat ketiga-tiga aras muzium, pengunjung berpeluang membeli buah tangan seperti cenderamata dan makanan tradisional contohnya kuih karas, putu beras dan baulu yang dijual di kedai muzium di tingkat bawah bangunan berkenaan.
Ketua Unit Muzium Padi, Mohd. Zahari Saud berkata, muzium yang mula dibuka kepada orang ramai pada 10 Oktober 2004 itu memberi banyak pengetahuan kepada pengunjung mengenai proses penanaman padi dan peralatan yang digunakan.
“Jika anda mahu mengenali Kedah, negeri yang terkenal dengan jolokan negeri Jelapang Padi, datang ke Muzium Padi yang pasti memberi pendedahan terperinci berkaitan padi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Karnival
Menurutnya, tidak ramai yang tahu tentang peralatan tradisional yang digunakan pesawah dahulu.
Di Muzium Padi pengunjung boleh melihat sendiri alat penanaman padi yang kini tidak lagi ditemui kerana pesawah moden sudah menggantikannya dengan mesin canggih.
“Di sini, kita boleh tahu kepayahan orang dahulu menanam padi untuk mendapatkan beras berbanding masa kini yang jauh lebih mudah,” jelasnya.
Kata Mohd. Zahari, bagi merancakkan lagi aktiviti di Muzium Padi, pihak Lembaga Muzium Negeri Kedah mengadakan Karnival Muzium Padi dari 27 September hingga 6 Oktober lalu dengan sasaran pengunjung seramai 100,000 orang.
“Sepanjang karnival ini, kita adakan persembahan artis terkenal, pembukaan pelbagai jenis gerai pameran, jualan dan aktiviti sukan bendang,” ujarnya.
Paling menarik adalah sukan bendang kerana pengunjung boleh menyertai pelbagai acara antaranya, polo bendang, menangkap ikan, menangkap itik, menanggung padi dan larian terpantas.
“Ini tahun kedua karnival itu diadakan dan kita mungkin akan anjurkannya sebagai acara tahunan jika terus mendapat sambutan baik daripada pengunjung,” katanya.
Tambah Mohd. Zahari, selain pengunjung tempatan, muzium itu turut terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong antaranya dari Thailand, Singapura dan Myanmar.
Seorang guru Tabika Kemas Kampung Paya Pulau Dudur, Jitra, Rosma Ibrahim, berkata, setiap tahun dia akan membawa pelajarnya melawat ke Muzium Padi bagi mendedahkan mereka tentang proses penanaman padi dengan lebih dekat.
“Ramai yang hanya tahu makan nasi sahaja, tetapi tidak tahu proses dan alat penanaman padi sebelum ia menjadi beras.
“Dengan lawatan ini, mereka akan lebih faham kerana di sini ada banyak gambar menunjukkan proses dan musim penanaman padi yang menarik,- kosmo
sumber kosmo